Tuesday, November 3, 2009

Lukisan Alam





















Berikutan rasa prihatin dan sayang terhadap alam sekitar membawa beberapa pelukis untuk melakarkan hasil kerjamereka tentang alam semulajadi dan alam sekitar di kanvas bagi menyedarkan orang ramai betapa pentingnya menjaga dan memelihara alam sekitar.

Dengan kehalusan seni dan tangan begitu teliti mencalitkan warna pada berus mahupun dengan lakaran pensil menjadikan sebuah lukisan itu unik dengan nilai seni yang amat tinggi sehinggakan hasil kerja mereka dapat dijual dengan harga ratusan hingga ke ribuan ringgit.

"Rasa prihatin terhadap alam sekitar dan sedar akan kepentingan menjaga alam sekitar telah membawa saya kepadadunia lukisan.


"Saya melukis hutan, hutan-hutan yang masih belum diterokai dengan harapan melalui lukisan ini orang ramaiakan berminat terhadap alam semulajadi sekaligus melindungi dan memelihara alam sekitar yang ada," ujarLucas Kueh seorang daripada pelukis yang ditemui di Bintulu.


Sedar betapa besarnya pengaruh lukisan, Lucas berkata, "pada saya lukisan juga boleh memupuk kesedaran masyarakat agar memelihara alam sekitar".

Sambil tidak menolak untuk menyiapkan sesebuah lukisan memakan masa yang agak lama dan teliti Lucas berkata,untuk menyiapkan sebuah lukisan sebesar saiz pintu memakan masa satu hingga dua bulan.

"Idea-idea yang digarap dalam lukisan diperolehi hasil dari apa yang dilihat pada hutan-hutan yang ada.Sebelum melakarnya, saya perlu merakamkan gambar hutan dengan kamera sebelum gambar hutan itu dicetak dan dilukis semula di permukaan kanvas," katanya sambil menambah kebanyakan karyanya lebih menjuruskan kepada tema pemandangan alam sekitar.
Kepada generasi muda katanya, "Ini merupakan satu hobi yang amat baik untuk mereka (generasi muda) dan saya amat menggalakkan agar generasi muda yang berminat dengan lukisan untuk terus melukis," tambahnya.
Jelasnya, bukan sahaja kepuasan yang diperolehi dari lukisan itu malahan hasil karya lukisannya yang paling mahal terjual mencecah harga RM15,000.
Dalam usaha memupuk minat dan meningkatkan tahap keupayaan pelukis di sini beliau mengharapkan agar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dapat mewujudkan sebuah galeri yang dapat memberi kemudahan kepada pelukis-pelukis mempamerkan hasil kerja mereka.
"Ini amat baik untuk memperkembangkan bakat dan hasil karya pelukis tempatan sekaligus menjadikan Bintulu sebagai tumpuan para pelukis kelak pada masa hadapan," jelasnya.

Lucas mempamerkan 21 buah hasil karyanya di Bintulu Rainforest In Art And Photography pada 1 hingga 9 Ogos 2009lepas di Pentangon Square Parkcity Mall di sini.
Lucas yang lahir di Bintulu pada tahun 1960 mahir dalam lukisan acrylic, warna air, batik dan arca kayu. Mengadakanpameran solo di Bintulu tahun 1985. Memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Ukiran Bahan Tradisional anjuran Kerajaan Negeri Sarawak dan Muzium Negara Kuala Lumpur pada tahun 1998.
Menyertai Pameran Karya Seni Malaysia Airlines I di Bangunan MAS Lapangan Terbang Antarabangsa Subang Kuala Lumpurpada tahun 1998, Pameran Ukiran Kayu anjuran STIDDC tahun 1989, Pameran Berkumpulan anjuran Kelab-Kelab LionBintulu (1990), Pameran Karya Seni Malaysia Airlines II ditaja oleh Malaysia Airlines di Bangunan MAS Kuala Lumpur(1990), Kidurong Hospital Fund Raising Art Exhibition Bintulu (1991), Mystery of Sarawak di taja oleh Malaysia LNGdi Hilton Kuching (1993), Legacy of Sarawak II ditaja oleh Malaysia LNG di Galeri Petronas Kompleks DayabumiKuala Lumpur (1994) dan pameran seni Where the World Meets anjuran Louise Van Alenburg di Parkcity Everly HotelBintulu (Mac 2003).

Hasil kerjanya dapat dilihat dalam lukisan-lukisan lakaran seninya berkenaan dengan tempat kelahirannya termasuklukisan yang memaparkan keindahan alam semulajadi.

Sementara itu berbeza bagi Pier Ling Sui Lung yang katanya, beliau telah beberapa kali mempamerkan hasil karyanya dalam beberapa pameran lukisan sebelum ini.




























"Saya melukis bukan sepenuh masa tetapi hanya sambil mengisi ruang masa yang terluang sahaja," katanya.


Begitupun katanya, beliau juga amat menyukai untuk melukis hutan hujan dan pemandangan.Beliau yang lahir di Bintangor dan keluarganya berpindah ke Bintulu selepas beliau menamatkan pelajaran di sekolah rendah dan menengah di Bintangor.


Disebabkan minatnya terhadap seni lukis dan kraftangan, beliau akhirnya bekerja dengan syarikat Signcraft sekaligusberjaya memperolehi kemahiran dan seni untuk tempoh 15 tahun. Beliau menyertai The World Correspondence Schooldari Hong Kong selama tiga tahun dan menamatkan kursus dalam `Commercial Art'.

Pier Ling mahir dalam Arcrylic, warna air, lakaran pensil serta amat mengharapkan agar dapat maju dalam bidang yang diceburinya.


Connie Hu yang telah 10 tahun berkecimpung dalam bidang lukisan sejak dari kecil lagi pula berkata, sejak kecil sayasuka melihat gambar yang cantik dan seterusnya melukisnya.

"Saya suka gambar orang dan alam semulajadi," katanya yang menjadikan bidang melukis dan mengajar seni lukissebagai kerja sambilannya.


















"Saya berharap masa depan cerah dan mampu menjadi pelukis yang terkenal pada satu masa kelak selain ingin pergi jauh dalam bidang itu serta mempamerkan hasil karyanya dalam pameran bergerak," jelasnya yakin.














Connie merupakan pelukis amatur dan kini menjadi guru lukisan sambilan. Lahir di Miri pada tahun 1975.Pencapaian terbaiknya adalah merangkul `The Best Achievemen of Art SMK Bintulu (1995)', pemenang `ASTRO LIFE 2007,Foster Home For Imaginary Friends Contest (2007)', mendapat saguhati dalam pertandingan `Sibu Arts and CreativityAssociations (2009), Culture Competition (2009), Gawai Day Fine Art Competition (2001), merangkul tempat pertamaPeraduan Mewarna Hari Keluarga PERKIM 2009 selain menghadiri pertandingan-pertandingan melibatakn persatuan dan kebudayaan.














Seorang lagi pelukis Tieng Teng Kee berkata, beliau minat melukis pemandangan dan hutan dengan cat warna air.



















"Ini merupakan bidang sambilan saya dan berharap akan terus berjaya dalam bidang ini," katanya yang juga bekerja dengan syarikat papan tanda di sini dan mempunyai empat cahaya mata.















Tieng merupakan pereka di syarikat Ngie Hung Signcraft, memenangi pertandingan poster Anti Dadah di Sibu (1978),Pertandingan Senilukis Pelajar Sekolah Menengah di Sibu (1980), Pertandingan Melukis 25 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia dan Ulang Tahun Ke-10 BDA (1988), Pameran Berkumpulan di Bintulu (1993), Pameran Seni Lukis di Dewan PerniagaanCina Sibu (1997) serta aktif menyertai dalam pelbagai pameran dan pertandingan melukis sehingga tahun 2008hingga kini.














Antara hasil karyanya adalah tumbuh-tumbuhan, lelaki memancing dan sampan, pantai di Kampung Nyalau, rumah panjang Ibandi Sarawak dan pemandangan bangunan Persatuan Kutien Garden di Sibu.

Monday, March 23, 2009

Impian Bintulu Ke Arah Bandaraya Perindustrian Mesra 2020


Mukadimah

BINTULU yang dahulunya sebuah perkampungan nelayan terpencil kini bukan sekadar sebuah bandar tenaga dan perindustrian
utama negara ini malahan merupakan pengeksport gas cecair asli terbesar dunia dengan memiliki kompleks Malaysia LNG
(Malaysia Liquefied Natural Gas) di satu lokasi tunggal, selain turut memiliki loji bagi penukaran gas asli kepada
produk minyak sintetik terbesar dunia dikenali sebagai Shell MDS (Shell Middle Distillate Synthesis).

Namun Bintulu kini semakin gagah mengorak langkah untuk mencapai status sebuah Bandaraya Perindustrian Mesra menjelang
tahun 2020 seperti yang ingin dicapai oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan penduduknya.

Dua belas tahun dari sekarang usaha itu dilihat akan mampu dicapai menerusi usaha giat oleh pasukan kerja BDA dengan
kerjasama agensi kerajaan, sektor swasta dan penduduk setempat. Pada tahun 2020 kelak, Bintulu akan menjadi bandaraya
ketiga di Sarawak selepas dua Bahagian lain yang turut mencapai status yang sama di negeri ini iaitu Bandaraya Kuching
dan Bandaraya Peranginan Miri.

Bintulu kini dalam perancangan untuk dijadikan sebagai bandaraya metropolitan terbesar, teratur, terancang dan selesa
oleh BDA, bagaimanapun usaha ini menuntut warganya termasuk pelbagai pihak untuk sama-sama mengembleng tenaga dan buah
fikiran bagi memikul tanggungjawab untuk memastikan misi itu tercapai.

Kini dengan pelaksanaan Koridor Tenaga Yang Boleh DiPerbaharui Sarawak (Score), ia dilihat akan mempercepatkan
lagi transformasi bandar Bintulu menjadi sebuah bandaraya dan tentunya banyak projek-projek besar dan kecil
telah dan akan dirancang bagi mempercepatkan proses itu.

Bagi mengupas lebih lanjut di sebalik impian Bintulu mencapai status sebuah bandaraya itu satu temubual bersama Pengurus Besar BDA, Mohidin Ishak di pejabatnya di Wisma Bintulu di
sini telah diadakan.


Kita sedia maklum BDA kini sedang giat berusaha untuk mencapai misinya menjadikan Bintulu sebuah Bandaraya Perindustrian Mesra, jadi adakah tuan haji rasa dan yakin misi itu akan tercapai?

Mohidin: Misi ini sebenarnya telah diluluskan oleh Lembaga BDA yang dipengerusi oleh Ketua Menteri, Pehin
Sri Abdul Taib Mahmud dan telah dipersetujui oleh semua bagi menjadikan Bintulu Bandaraya Perindustrian Mesra
pada tahun 2020.

Ini bermakna kita kini bergerak ke hadapan untuk mencapai misi ini, dan sudah tentunya ia merupakan perkara baik.
Pengurusan BDA bukan sahaja berusaha untuk membangunkan Bintulu tetapi berharap misi dan visi untuk menjadi
Bandaraya tercapai.

Melihat kepada kemajuan dan pencapaian Bintulu dalam tahun 1978 sehingga 2008 dan sekarang 2009, pencapaian Bintulu
dalam pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan populasi penduduknya dilihat begitu baik. Saya secara peribadinya
yakin Bintulu akan menjadi sebuah bandaraya kelak.
Bagaimanapun sekiranya ingin menjadi Bandaraya bermakna tempat itu perlu mencapai satu tahap. Perlu memiliki infrastuktur,
jalan baik, ada hotel, bank dan segala kemudahan yang diperlukan oleh sebuah bandaraya.

Sekiranya bertanya kepada pelawat yang datang ke Bintulu semasa lima tahun lalu dan kembali ke Bintulu semula hari ini,
mereka akan melihat Bintulu sekarang berbeza. Sistem jalan raya, pertumbuhan populasi, lalulintas semuanya
telah berubah dengan drastik.
Saya yakin Bintulu akan mencapai visi yang diharapkan itu, bukan sahaja sebagai sebuah bandaraya tetapi menjadi
bandaraya yang mesra.
Mengikut Kajian Pelan Induk dalam tahun 2000, penggunaan tenaga elektrik dalam data Sesco menunjukkan Bintulu menggunakan
sejumlah 40 peratus tenaga, manakala selebihnya 60 peratus digunakan oleh Bahagian-bahagian lain di negeri ini.

Industri besar Malaysia LNG yang terletak di lokasi tunggal di Kidurong dengan penghasilan gas cecair asli dunia sudah
tentunya menggunakan tenaga lebih dari itu.
Selain, kawasan perindustrian di Kidurong, yang terbaru dalam tahun 2009 adalah Samalaju yang merupakan kawasan
perindustrian baru, serta industri palpa dan kertas yang di bina di Samarakan Tatau dengan pelaburan USD1 bilion,
tentunya juga akan menggunakan tenaga elektrik dalam jumlah yang banyak.
Ini memperlihatkan bahawa Bintulu merupakan pengguna tenaga elektrik terbesar di Sarawak.


Apakah persediaan-persediaan penting yang telah dilakukan oleh Bahagian ini untuk mencapai misi itu terutamanya BDA yang menjadi badan pelaksana?

Mohidin: Dalam melaksanakan impian itu, BDA telah menyediakan Pelan Induknya sejak 30 tahun lalu. Semuanya diambil-kira
dalam menyediakan kemudahan umpamanya pembinaan sistem pemunggahan barangan dan rawatan air kumbahan yang sistematik
di pusat bandar.
Mungkin Bintulu merupakan satu daripada kawasan di Sarawak yang memiliki sistem rawatan air kumbahan berpusat. Kita
sebenarnya telah merancang kawasan itu di bawah Kajian Wilayah Bandar dan Pelan Induk Perniagaan Berpusat.
Memandangkan bandaraya sebuah kawasan yang besar maka kita mengenalpasti bandar lama yang sedia ada akan dijadikan sebagai
lokasi perniagaan berpusat. Sudah tentunya ada bandar lain iaitu Bandar Medan Jaya dan Bandar baru Kidurong atau
mungkin bandar baru di Jepak dan Sungai Plan kelak.

Kita juga akan membina Boulevard yang jauhnya 2 kilometer di tapak lapangan terbang untuk orang ramai berjalan selain
tempat persiaran yang sedia ada iaitu promenade yang menghadap laut dan sungai Kemena.
Ini adalah persediaan dari segi fizikal yang senang untuk dibangunkan tetapi persediaan mental penduduk merupakan satu
perkara yang sukar dan merupakan cabaran bagi kita khasnya mendidik warga kota supaya menghargai apa yang kita buat.

Apakah tanggungjawab penduduk dan sektor korporat serta swasta di sini untuk mencapai misi itu?

Mohidin: Tanggungjawab itu tidak harus dipikul oleh BDA sahaja sebagai pihak berkuasa tempatan yang menyediakan
kemudahan fizikal. Mungkin pentadbiran kerajaan lain perlu memain peranan yang sama serta memiliki perancangan
tersendiri untuk sama-sama memikul tanggungjawab itu.
Umpamanya bank swasta, mereka boleh mendirikan Ibu pejabat bank di kawasan perniagaan berpusat dan seterusnya
membuka cawangan di tempat lain namun dalam kawasan bandaraya yang sama.

Pada pandangan tuan haji bagaimanakah keadaan Bintulu selepas mencapai status bandaraya kelak?

Mohidin: Bintulu memiliki industri berat dan pelabuhan laut dalam, industri ringan dan sokongan, daerah komersial
kecil di Kidurong. Pembangunan sebuah bandar tidak hanya tertumpu pada satu lokasi sahaja mungkin daerah dan tempat
lain di kawasan Bintulu juga akan dibangunkan menjadi sebuah bandar. Pihak peniaga mungkin boleh membuka restoran
yang lebih besar dan baik. Apa yang penting pembinaan kemudahan perlu bersesuaian dengan pembangunan sesebuah bandar
itu. Kemungkinan market yang telah kita bina di pusat bandar dinaiktaraf menjadi market bertaraf tiga atau empat
bintang. Semua ini perlu dirancang dengan sebaiknya supaya lebih teratur dan terancang. Umpamanya pada masa sekarang
kita sedang menaik taraf laluan pejalan kaki berjubin di pusat bandar untuk orang ramai dan lalulintas pula dibuat
sehala supaya pengguna lebih selesa.
Kita juga merancang untuk membina bangunan bertingkat bagi tempat parkir kenderaan berbayar yang baik justeru semua
warga perlu bersedia untuk belajar, berubah dan menyesuaikan diri dengan keadaan itu supaya bandaraya yang ingin kita
wujudkan ini tidak kelam-kabut seperti yang berlaku di sesetengah negara berikutan dihuni oleh ramai penduduk.

Jumlah penduduk sekarang dan tahun 2020?

Mohidin: Untuk menjadi sebuah bandaraya, populasi penduduknya perlu mencapai 500,000 orang. Menurut rekod dari Jabatan
Perangkaan Malaysia penduduk Bintulu kini adalah berjumlah 200,000. Pada tahun 2000, jumlah penduduk yang direkodkan
adalah 167,400 berbanding 14,000 orang pada awal tahun 1970. Dengan pertumbuhannya penduduk 5 peratus setahun di samping
kemasukan orang luar dan pelabur, populasi penduduk bandar pada masa sekarang mungkin akan terus bertambah.
Dan pada tahun 2020, jumlah penduduk yang direkodkan adalah dijangka mencecah 454,150orang.

Bagi memastikan jumlah penduduk tidak berkurangan maka mereka yang telah bersara perlu berada di Bintulu.
Justeru itu, bagi memastikan penduduk terus berada di Bintulu dan tidak berhijrah ke tempat lain maka
penyediaan pusat pendidikan, perubatan dan segala kemudahan perlu dilakukan.
Di samping itu dengan pelbagai industri dibawa masuk ke bahagian ini, serta pembinaan segala kemudahan sudah
pastinya jumlah penduduk akan bertambah dengan drastik.

Dengan jumlah penduduk yang ramai, adakah orang ramai tidak terpinggir atau dapat mengambil peluang dalam pasaran kerja yang ada?

Mohidin: Penduduk pastinya akan mendapat faedah daripada kewujudan industri-industri terbabit sekiranya penduduk
dilatih dengan kemahiran baik. Tidak mendapat kerja bukan menjadi soal memandangkan peluang kerja yang tersedia
adalah berjumlah 1.6 juta dan mencukupi untuk penduduk di negeri ini.
Misalnya jurukimpal memerlukan satu juta tenaga kerja. Jurukimpal di Sarawak mungkin tidak banyak atau hanya 200,000
orang sahaja. Sebenarnya banyak kerja untuk penduduk setempat di sini.

Apakah tarikan dan simbol penting yang boleh menjadi jenama untuk memperlihatkan Bintulu sebagai sebuah bandaraya?

Mohidin: Tidak hanya sebagai bandar industri mungkin simbol bandar ini adalah sebagai pusat kebudayaan memandangkan kita
ingin mewujudkan bandaraya yang mesra. Keadaannya mungkin akan berubah apabila Bintulu sudah menjadi bandaraya kelak.
Bagaimanapun kita tidak harus menumpukan kepada pembangunan fizikal sahaja kerana kita berharap akan mampu membangunkan
mentaliti penduduk sebagai warga bandaraya yang baik.


Apakah cabaran utama bagi BDA dalam usaha untuk mencapai impian itu?

Mohidin:Cabaran kita adalah untuk membawa pelabur industri ke bahagian ini serta merubah mentaliti masyarakat
dalam sebuah bandar yang akan dijadikan sebagai sebuah bandaraya.

Apakah projek-projek terbaru yang dilaksanakan yang akan membantu mempercepatkan proses transformasi Bintulu menjadi sebuah bandaraya?

Mohidin: BDA merancang untuk mewujudkan kawasan pelancongan di sini dan rancangan itu telah pun diluluskan.
Tempat pelancongan itu dikenali sebagai Kampung Warisan yang terletak di Kampung Dato' di bawah Daerah Perniagaan
Berpusat. Antara yang ada di Kampung Warisan itu kelak adalah kawasan komersial kecil-kecilan, hiburan pelancongan,
gerai-gerai yang menjual produk-produk tempatan seperti kraftangan, kebudayaan dan sebagainya.

Apakah rancangan atau projek yang diatur oleh BDA bagi mengatasi masalah kesesakan di bandar khasnya dengan pertambahan jumlah kenderaan dan penduduk di Bintulu?

Mohidin: Kita perlu merancang dengan betul untuk mengatasi masalah kesesakan ini dengan mewujudkan sistem parkir dan
pemunggahan barangan oleh peniaga yang sistematik.
Samada suka atau tidak disebabkan ruang terhad dan kekurangan lot meletak kenderaan di pusat bandar maka bangunan
parkir bertingkat perlu dibina. Dengan adanya bangunan ini, kita berharap ia akan mengatasi masalah kekurangan tempat
parkir yang ada dan masalah kesesakan.

Apa pandangan tuan haji sekiranya tempat-tempat hiburan diletakkan di satu lokasi khusus?
Mohidin: Ia bergantung kepada keadaan sesuatu tempat itu. Saya membayangkan sekiranya warga kota dapat menikmati
persembahan hiburan berbentuk orkestra. Mungkin juga hiburan-hiburan lain untuk generasi muda yang mempunyai
minat berbeza.

Di samping itu, ia bergantung kepada keperluan dan permintaan. Kita tidak mahu membina tempat tetapi tidak digunakan
sebaiknya sehingga menjadikan tempat itu seperti `gajah putih'. Bergantung kepada keadaan sebenarnya kerana mentaliti kita
di sini adalah berbeza dengan tempat-tempat lain.

Adakah status bandaraya yang dicapai oleh Bintulu kelak akan mewujudkan tekanan kepada penduduknya?

Mohidin: Tidak, industri berteknologi tinggi yang terdapat di Bintulu akan sentiasa memastikan pekerja mereka
efisien dan bukan tertekan. Pihak pengurusan syarikat akan sentiasa menjaga kebajikan pekerja mereka.
Justeru tekanan hanya wujud kepada mereka yang tidak mempunyai kerja.

Sekiranya semua orang mendapat kerja yang baik, seterusnya mampu memiliki rumah dan dapat menikmati kemudahan
untuk beriadah dan berhibur, tentu tekanan tidak akan berlaku.
Status bandaraya sebenarnya membawa kebaikan kerana ia mampu menarik pelabur serta membawa wang masuk, dan bukan
mewujudkan tekanan kepada penduduknya.

Bagaimana sokongan pelbagai pihak terhadap usaha BDA setakat ini?

Mohidin: Alhamdulilah, sokongan daripada kerajaan amat baik. Kerajaan negeri dan persekutuan menyokong penuh usaha
BDA untuk membangunkan Bintulu. Banyak projek-projek yang dilaksanakan mendapat peruntukan kewangan daripada kerajaan.

Manakala sokongan swasta juga baik. Mereka juga membantu dan memain peranan. Beberapa projek yang dilaksanakan oleh
swasta adalah membina kemudahan perumahan, pembinaan pusat perniagaan di Medan Jaya, Parkcity Commercial Square, Parkcity
Shopping Mall, pusat perubatan swasta, kondominium di Tanjung Batu dan sebagainya.

Sektor swasta juga amat menyedari potensi Bintulu sebagai sumber penting mereka, justeru mengambil peranan masing-
masing dengan membina kilang pemprosesan kayu balak di Estet Perindustrian Kemena dan Loji pemprosesan kelapa sawit
di Kidurong.
Industri-industri besar di Bintulu akan membawa pelaburan besar ke bahagian ini. Ahli perniagaan bijak, mereka tahu
bagaimana untuk mengambil peluang. Justeru, untuk penduduk mereka perlu menyediakan diri dengan kemahiran misalnya pergi
ke politeknik atau pusat kemahiran giat Mara, pusat latihan dan bengkel.
Disebabkan itu, bukan sahaja BDA perlu memain peranan untuk merancang tetapi semua pihak perlu membuka mata, minda dan
telinga untuk menjayakan misi ini dengan menaik taraf dan meningkatkan kemudahan masing-masing sejajar dengan perkembangan
dan pembangunan bandar Bintulu.

Seruan tuan haji terhadap penduduk di Bintulu?

Mohidin:Penduduk perlu memahami bahawa Bintulu telah melangkah maju sejak dari 30 tahun lepas dan akan terus melangkah
ke hadapan.
Justeru, saya menyeru penduduk Bintulu bersedia untuk mengambil segala peluang yang ada supaya tidak ketinggalan dan
teraba-raba menyesuaikan diri dengan keadaan baru Bintulu yang cepat membangun.
Samada suka atau tidak ia akan tetap berlaku.
Penduduk juga perlu peka dengan persekitaran mereka kerana kita tidak mahu nanti apabila ketinggalan dan terpinggir, BDA
dan pihak berkuasa disalahkan. Kita juga akan membina sebuah perkampungan baru yang terancang di bandaraya.
Saya berharap semua akan mengambil peluang dengan menerapkan kemahiran diri namun tidak mengabaikan aspek hubungan
kejiranan dan kemesraan antara mereka kerana kita tidak mahu wujud sikap mementingkan diri dalam kampung dan dalam
sebuah bandaraya.

Bagi penduduk yang ingin menjadi nelayan pula, mereka perlu mengambil kemahiran agar dapat menjadi nelayan yang cekap
serta mendapatkan lebih banyak ikan selain bersedia dengan bot besar.
Bagaimanapun segala permasalahan yang berlaku melibatkan penduduk dalam usaha kita untuk mencapai sebuah bandaraya
perlu disalurkan melalui saluran yang betul dan diselesaikan dengan sebaiknya.

Taman Negara Similajau di Bintulu


Pengenalan
Selepas seharian penat bekerja atau mungkin untuk melarikan diri sementara dari kesibukan kota pada hujung minggu, adalah lebih baik untuk mencari tempat yang sesuai untuk merehatkan minda dan melepaskan tekanan. Satu daripadanya adalah dengan mengunjungi Taman Negara Similajau di Bintulu.

Taman ini menjanjikan satu kelainan dan keunikannya bukan sahaja dari segi kemudahan yang ditawarkan malahan menyimpan banyak khazanah alam semulajadi yang amat berharga yang boleh diterokai oleh pengunjung-pengunjungnya.Taman yang diuruskan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC)itu telah diwartakan pada 1 Disember 1976.

Keluasan taman itu merangkumi 7,064 hektar di garisan pantai (kawasan darat) termasuk 1,932 hektar kawasan laut dan sebahagian daripada kawasan pemeliharaan untuk pelbagai spesies hidupan liar dan spesies pokok hutan. Taman yang terletak 30 kilometer Timur Laut bandar Bintulu itu merupakan destinasi sangat popular pada hujung minggu.

"Berbanding dengan taman-taman lain di Sarawak, Taman Negara Similajau cukup unik dan menarik, memandangkan taman ini berdekatan dengan bandar, malahan untuk sampai ke taman ini dari bandar Bintulu hanya memakan masa 30 minit sahaja dengan memandu kenderaan," kata Pengurus Wilayah SFC Bintulu, Mohamad Jirin Anis.

Sambil menjelaskan kedudukkan taman ini sebagai satu kelebihan katanya, "kedudukkannya yang dekat dan lokasinya yang terletak 30 kilometer di Timur Laut bandar Bintulu akan memudahkan ramai pengunjung mengunjungi taman ini
khususnya penduduk tempatan."

"Sasaran kita adalah untuk melihat ramai penduduk tempatan datang ke sini serta menikmati khazanah alam berharga yang ditawarkan taman ini," tambahnya semasa ditemubual.



Bagi menjelaskan mengenai maksud keunikan dan kelainan yang ditawarkan di Taman Negara Similajau, Mohammad Jirin berkata,
terdapat tiga khazanah hutan utama dan paling berharga di taman itu antaranya adalah hutan pantai, hutan kerangas, hutan
`Mixed Dipterocarp' serta hutan paya bakau.

"Manakala hidupan liar yang terdapat di taman ini pula adalah ikan lumba-lumba, penyu, buaya air masin yang terdapat
di Sungai Likau dan belangkas," katanya.

Khazanah hutan berharga yang terdapat di Taman Negara Similajau adalah menakjubkan kerana ia merupakan hutan istimewa
yang ditumbuhi pelbagai spesies pokok dan tumbuhan serta kewujudan batu-batu besar di samping pokok-pokok rhu yang
tumbuh di kawasan sepanjang pantai Similajau serta pokok paya bakau yang boleh ditemui berdekatan dengan Sungai
Sebubong.



Hutan `mixed dipterocarp' pula merupakan hutan yang memiliki pokok-pokok besar yang bersimbolkan hutan hujan tropika.
Terdapat 24 spesies hidupan liar dan 185 spesies burung di rekodkan terdapat kawasan taman ini, manakala buaya air masin
yang mendiami habitat di muara sungai memakan haiwan-haiwan kecil seperti ikan, biawak dan sebagainya.

Apa yang paling unik adalah spesies Belangkas serta penyu hijau yang datang ke pantai Similajau Golden Beach untuk
bertelur dan ikan lumba-lumba yang mungkin boleh ditemui berenang berdekatan dengan kawasan pantai di taman itu.




Kemudahan

Dengan pelbagai khazanah alam yang terdapat di taman ini katanya, pihak taman tidak akan mengabaikan aspek penyediaan
kemudahan untuk para pengunjung menikmati keindahan-keindahan alam semulajadi itu antaranya adalah laluan untuk
treking dan papan pejalan kaki menuju ke sembilan jejak di taman ini.



"Jejak utama adalah jejak ke Golden Beach, Turtle Beach I & II, Batu Anchau, Sebubong Pool, Circular Trail dan
Education Trail (untuk pendidikan semulajadi pengunjung dan pelajar)," kata Mohamad Jirin sambil menjelaskan untuk
sampai ke Golden Beach memakan masa empat jam dengan berjalan kaki dan sejam dengan menggunakan pengangkutan bot.

"Apa yang menariknya tentang Golden Beach ialah pantai kelihatan macam emas. Ini merupakan satu produk yang
unik dan menarik kerana pasir-pasir di kawasan taman ini kelihatan macam emas," katanya.


Menceritakan lebih lanjut mengenai kawasan Turtle Beach pula katanya, ia merupakan pantai bagi penyu-penyu bertelur
pada musim di antara April hingga September tetapi dalam jumlah yang kecil berbanding di pantai Taman Negara
Talang Satang (Bahagian Kuching) yang mana penyunya bertelur banyak.



"Namun ia merupakan kawasan pemuliharaan khas untuk penyu di taman ini, bagaimanapun kita berharap dan merancang
untuk mendapatkan lebih banyak tempat bagi projek pemuliharaan penyu di Bintulu untuk tahun ini," jelasnya.

Katanya, kemudahan yang paling menarik disediakan oleh pihak taman adalah pelayaran atau ronda-ronda sungai dengan
bot di sepanjang Sungai Likau dan pantai di taman atau menuju ke Batu Mandi di hadapan taman yang memberi pilihan
kepada pelawat untuk menikmati keindahan persekitaran dan laut di Taman Negara Similajau.




Selain itu katanya, tempat penginapan untuk bermalam serta berehat turut disediakan untuk mereka yang mengunjungi
taman ini.

Antara kemudahan penginapan yang disediakan ialah Rumah Rehat Kenamaan (VIP), Pandu Masuk Chalet (Drive In Chalet),
Hostel atau Asrama 18 bilik, tapak perkhemahan untuk yang mahu bermalam dan mendirikan khemah di kawasan taman,
tempat mandi awam, tempat berbeku dan pondok rehat.

"Kita mempunyai banyak chalet yang kini masih dinaik-taraf. Kemudahan chalet itu belum dibuka untuk tempahan bagi
penginapan pengunjung buat masa ini disebabkan masih dalam pembinaan," katanya sambil menambah kerja-kerja menaik taraf
itu dijangka siap pada April 2010.






Beliau berkata, enam chalet baru yang dalam pembinaan semula serta dinaik-taraf apabila siap kelak diharap akan memberikan
kemudahan penginapan yang selesa dan baik untuk pelawat.

Dalam perkembangan lain katanya, setakat ini tumpuan akan diberikan kepada pelawat-pelawat yang mahu menikmati aktiviti
lasak seperti treking dan sebagainya di kawasan taman.


Kesan Krisis Ekonomi

Mengenai kesan krisis ekonomi global katanya, "Ia tidak begitu menjejaskan potensi taman ini sebagai tempat eko pelancongan
menarik memandangkan produk yang ditawarkan masih ada di situ dan kita juga tidak terlalu bergantung kepada kehadiran
pelancong asing".

"Operasi taman ini sebagai destinasi menarik untuk dikunjungi juga masih diteruskan. Namun harapan kita adalah agar lebih
ramai pelancong domestik datang ke taman ini pada tahun ini dengan sasaran kita adalah kunjungan sekitar 80 peratus
pelancong domestik khususnya selepas kemudahan taman dipertingkatkan kerana taman ini menjanjikan tempat berekreasi
pada hujung minggu dan tempat yang sunyi bagi merehatkan minda dari kesibukan kota," katanya.

Begitupun katanya, sekiranya ramai pelancong asing datang ke taman ini, ia adalah sesuatu yang amat baik.

"Kita sebenarnya masih ada pelawat," katanya sambil menambah pelancong asing yang datang ke taman ini selalunya membuat
penyelidikan terhadap sumber asli dan melihat pelbagai spesies burung, manakala pelancong tempatan pula lebih tertumpu
kepada rekreasi, menyaksikan matahari terbenam di waktu senja, berbeku, berjalan-jalan di pantai, melakukan aktiviti trip
pendidikan dan sebagainya.

Kehadiran Pelawat

Mohamad Jirin berkata, setakat tahun 2008 lepas, kehadiran pelancong asing adalah seramai 1,700 ke Taman Negara Similajau
yang kebanyakannya membuat penyelidikan dan menikmati keindahan alam semulajadi.

"Dan dengan pelaksanaan projek Koridor Tenaga Boleh DiPerbaharui Sarawak (Score), maka peluang kita adalah untuk mendapat
lebih ramai pelawat datang ke taman terutamanya warganegara asing yang bekerja dalam Score."



"Taman ini menyediakan kemudahan rekreasi untuk mereka berehat selepas sepanjang hari bekerja malahan terletak
berdekatan di antara sempadan Score, justeru kita akan berusaha untuk meningkatkan produk-produk baru yang diperlukan
oleh pelawat ini," katanya.

Selain itu katanya, sejajar dengan kewujudan Score maka pihaknya juga akan memperkenalkan lebih banyak produk-produk baru
untuk pelawat di taman itu.



Bagaimanapun katanya, "Kita berharap penduduk di Bintulu mengambil peluang ini untuk datang beramai-ramai mengunjungi dan
menikmati keindahan taman ini terutama yang ingin menginap, beriadah bersama keluarga dan teman-teman".

Sementara itu, masa yang paling sesuai dan baik untuk melawat Taman Negara Similajau adalah pada musim kering antara
Februari hingga Oktober apabila garisan pantai kelihatan begitu menarik dengan air lautnya kehijauan bercahaya
yang mana baik untuk mandi-manda dan berenang.

Wednesday, January 7, 2009

Pembuka Bicara

Blog ini akan menyingkap pengalaman-pengalaman pemancing semasa mendarat udang sungai
di sungai-sungai Sarawak dan bukan menyentuh mengenai teknik-teknik memancing.

Justeru bagi yang ada cadangan dan komen dialu-alukan untuk menghantar ke dalam blog ini.

Dari
Udang Galah Sepit Biru