Monday, March 23, 2009

Impian Bintulu Ke Arah Bandaraya Perindustrian Mesra 2020


Mukadimah

BINTULU yang dahulunya sebuah perkampungan nelayan terpencil kini bukan sekadar sebuah bandar tenaga dan perindustrian
utama negara ini malahan merupakan pengeksport gas cecair asli terbesar dunia dengan memiliki kompleks Malaysia LNG
(Malaysia Liquefied Natural Gas) di satu lokasi tunggal, selain turut memiliki loji bagi penukaran gas asli kepada
produk minyak sintetik terbesar dunia dikenali sebagai Shell MDS (Shell Middle Distillate Synthesis).

Namun Bintulu kini semakin gagah mengorak langkah untuk mencapai status sebuah Bandaraya Perindustrian Mesra menjelang
tahun 2020 seperti yang ingin dicapai oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan penduduknya.

Dua belas tahun dari sekarang usaha itu dilihat akan mampu dicapai menerusi usaha giat oleh pasukan kerja BDA dengan
kerjasama agensi kerajaan, sektor swasta dan penduduk setempat. Pada tahun 2020 kelak, Bintulu akan menjadi bandaraya
ketiga di Sarawak selepas dua Bahagian lain yang turut mencapai status yang sama di negeri ini iaitu Bandaraya Kuching
dan Bandaraya Peranginan Miri.

Bintulu kini dalam perancangan untuk dijadikan sebagai bandaraya metropolitan terbesar, teratur, terancang dan selesa
oleh BDA, bagaimanapun usaha ini menuntut warganya termasuk pelbagai pihak untuk sama-sama mengembleng tenaga dan buah
fikiran bagi memikul tanggungjawab untuk memastikan misi itu tercapai.

Kini dengan pelaksanaan Koridor Tenaga Yang Boleh DiPerbaharui Sarawak (Score), ia dilihat akan mempercepatkan
lagi transformasi bandar Bintulu menjadi sebuah bandaraya dan tentunya banyak projek-projek besar dan kecil
telah dan akan dirancang bagi mempercepatkan proses itu.

Bagi mengupas lebih lanjut di sebalik impian Bintulu mencapai status sebuah bandaraya itu satu temubual bersama Pengurus Besar BDA, Mohidin Ishak di pejabatnya di Wisma Bintulu di
sini telah diadakan.


Kita sedia maklum BDA kini sedang giat berusaha untuk mencapai misinya menjadikan Bintulu sebuah Bandaraya Perindustrian Mesra, jadi adakah tuan haji rasa dan yakin misi itu akan tercapai?

Mohidin: Misi ini sebenarnya telah diluluskan oleh Lembaga BDA yang dipengerusi oleh Ketua Menteri, Pehin
Sri Abdul Taib Mahmud dan telah dipersetujui oleh semua bagi menjadikan Bintulu Bandaraya Perindustrian Mesra
pada tahun 2020.

Ini bermakna kita kini bergerak ke hadapan untuk mencapai misi ini, dan sudah tentunya ia merupakan perkara baik.
Pengurusan BDA bukan sahaja berusaha untuk membangunkan Bintulu tetapi berharap misi dan visi untuk menjadi
Bandaraya tercapai.

Melihat kepada kemajuan dan pencapaian Bintulu dalam tahun 1978 sehingga 2008 dan sekarang 2009, pencapaian Bintulu
dalam pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan populasi penduduknya dilihat begitu baik. Saya secara peribadinya
yakin Bintulu akan menjadi sebuah bandaraya kelak.
Bagaimanapun sekiranya ingin menjadi Bandaraya bermakna tempat itu perlu mencapai satu tahap. Perlu memiliki infrastuktur,
jalan baik, ada hotel, bank dan segala kemudahan yang diperlukan oleh sebuah bandaraya.

Sekiranya bertanya kepada pelawat yang datang ke Bintulu semasa lima tahun lalu dan kembali ke Bintulu semula hari ini,
mereka akan melihat Bintulu sekarang berbeza. Sistem jalan raya, pertumbuhan populasi, lalulintas semuanya
telah berubah dengan drastik.
Saya yakin Bintulu akan mencapai visi yang diharapkan itu, bukan sahaja sebagai sebuah bandaraya tetapi menjadi
bandaraya yang mesra.
Mengikut Kajian Pelan Induk dalam tahun 2000, penggunaan tenaga elektrik dalam data Sesco menunjukkan Bintulu menggunakan
sejumlah 40 peratus tenaga, manakala selebihnya 60 peratus digunakan oleh Bahagian-bahagian lain di negeri ini.

Industri besar Malaysia LNG yang terletak di lokasi tunggal di Kidurong dengan penghasilan gas cecair asli dunia sudah
tentunya menggunakan tenaga lebih dari itu.
Selain, kawasan perindustrian di Kidurong, yang terbaru dalam tahun 2009 adalah Samalaju yang merupakan kawasan
perindustrian baru, serta industri palpa dan kertas yang di bina di Samarakan Tatau dengan pelaburan USD1 bilion,
tentunya juga akan menggunakan tenaga elektrik dalam jumlah yang banyak.
Ini memperlihatkan bahawa Bintulu merupakan pengguna tenaga elektrik terbesar di Sarawak.


Apakah persediaan-persediaan penting yang telah dilakukan oleh Bahagian ini untuk mencapai misi itu terutamanya BDA yang menjadi badan pelaksana?

Mohidin: Dalam melaksanakan impian itu, BDA telah menyediakan Pelan Induknya sejak 30 tahun lalu. Semuanya diambil-kira
dalam menyediakan kemudahan umpamanya pembinaan sistem pemunggahan barangan dan rawatan air kumbahan yang sistematik
di pusat bandar.
Mungkin Bintulu merupakan satu daripada kawasan di Sarawak yang memiliki sistem rawatan air kumbahan berpusat. Kita
sebenarnya telah merancang kawasan itu di bawah Kajian Wilayah Bandar dan Pelan Induk Perniagaan Berpusat.
Memandangkan bandaraya sebuah kawasan yang besar maka kita mengenalpasti bandar lama yang sedia ada akan dijadikan sebagai
lokasi perniagaan berpusat. Sudah tentunya ada bandar lain iaitu Bandar Medan Jaya dan Bandar baru Kidurong atau
mungkin bandar baru di Jepak dan Sungai Plan kelak.

Kita juga akan membina Boulevard yang jauhnya 2 kilometer di tapak lapangan terbang untuk orang ramai berjalan selain
tempat persiaran yang sedia ada iaitu promenade yang menghadap laut dan sungai Kemena.
Ini adalah persediaan dari segi fizikal yang senang untuk dibangunkan tetapi persediaan mental penduduk merupakan satu
perkara yang sukar dan merupakan cabaran bagi kita khasnya mendidik warga kota supaya menghargai apa yang kita buat.

Apakah tanggungjawab penduduk dan sektor korporat serta swasta di sini untuk mencapai misi itu?

Mohidin: Tanggungjawab itu tidak harus dipikul oleh BDA sahaja sebagai pihak berkuasa tempatan yang menyediakan
kemudahan fizikal. Mungkin pentadbiran kerajaan lain perlu memain peranan yang sama serta memiliki perancangan
tersendiri untuk sama-sama memikul tanggungjawab itu.
Umpamanya bank swasta, mereka boleh mendirikan Ibu pejabat bank di kawasan perniagaan berpusat dan seterusnya
membuka cawangan di tempat lain namun dalam kawasan bandaraya yang sama.

Pada pandangan tuan haji bagaimanakah keadaan Bintulu selepas mencapai status bandaraya kelak?

Mohidin: Bintulu memiliki industri berat dan pelabuhan laut dalam, industri ringan dan sokongan, daerah komersial
kecil di Kidurong. Pembangunan sebuah bandar tidak hanya tertumpu pada satu lokasi sahaja mungkin daerah dan tempat
lain di kawasan Bintulu juga akan dibangunkan menjadi sebuah bandar. Pihak peniaga mungkin boleh membuka restoran
yang lebih besar dan baik. Apa yang penting pembinaan kemudahan perlu bersesuaian dengan pembangunan sesebuah bandar
itu. Kemungkinan market yang telah kita bina di pusat bandar dinaiktaraf menjadi market bertaraf tiga atau empat
bintang. Semua ini perlu dirancang dengan sebaiknya supaya lebih teratur dan terancang. Umpamanya pada masa sekarang
kita sedang menaik taraf laluan pejalan kaki berjubin di pusat bandar untuk orang ramai dan lalulintas pula dibuat
sehala supaya pengguna lebih selesa.
Kita juga merancang untuk membina bangunan bertingkat bagi tempat parkir kenderaan berbayar yang baik justeru semua
warga perlu bersedia untuk belajar, berubah dan menyesuaikan diri dengan keadaan itu supaya bandaraya yang ingin kita
wujudkan ini tidak kelam-kabut seperti yang berlaku di sesetengah negara berikutan dihuni oleh ramai penduduk.

Jumlah penduduk sekarang dan tahun 2020?

Mohidin: Untuk menjadi sebuah bandaraya, populasi penduduknya perlu mencapai 500,000 orang. Menurut rekod dari Jabatan
Perangkaan Malaysia penduduk Bintulu kini adalah berjumlah 200,000. Pada tahun 2000, jumlah penduduk yang direkodkan
adalah 167,400 berbanding 14,000 orang pada awal tahun 1970. Dengan pertumbuhannya penduduk 5 peratus setahun di samping
kemasukan orang luar dan pelabur, populasi penduduk bandar pada masa sekarang mungkin akan terus bertambah.
Dan pada tahun 2020, jumlah penduduk yang direkodkan adalah dijangka mencecah 454,150orang.

Bagi memastikan jumlah penduduk tidak berkurangan maka mereka yang telah bersara perlu berada di Bintulu.
Justeru itu, bagi memastikan penduduk terus berada di Bintulu dan tidak berhijrah ke tempat lain maka
penyediaan pusat pendidikan, perubatan dan segala kemudahan perlu dilakukan.
Di samping itu dengan pelbagai industri dibawa masuk ke bahagian ini, serta pembinaan segala kemudahan sudah
pastinya jumlah penduduk akan bertambah dengan drastik.

Dengan jumlah penduduk yang ramai, adakah orang ramai tidak terpinggir atau dapat mengambil peluang dalam pasaran kerja yang ada?

Mohidin: Penduduk pastinya akan mendapat faedah daripada kewujudan industri-industri terbabit sekiranya penduduk
dilatih dengan kemahiran baik. Tidak mendapat kerja bukan menjadi soal memandangkan peluang kerja yang tersedia
adalah berjumlah 1.6 juta dan mencukupi untuk penduduk di negeri ini.
Misalnya jurukimpal memerlukan satu juta tenaga kerja. Jurukimpal di Sarawak mungkin tidak banyak atau hanya 200,000
orang sahaja. Sebenarnya banyak kerja untuk penduduk setempat di sini.

Apakah tarikan dan simbol penting yang boleh menjadi jenama untuk memperlihatkan Bintulu sebagai sebuah bandaraya?

Mohidin: Tidak hanya sebagai bandar industri mungkin simbol bandar ini adalah sebagai pusat kebudayaan memandangkan kita
ingin mewujudkan bandaraya yang mesra. Keadaannya mungkin akan berubah apabila Bintulu sudah menjadi bandaraya kelak.
Bagaimanapun kita tidak harus menumpukan kepada pembangunan fizikal sahaja kerana kita berharap akan mampu membangunkan
mentaliti penduduk sebagai warga bandaraya yang baik.


Apakah cabaran utama bagi BDA dalam usaha untuk mencapai impian itu?

Mohidin:Cabaran kita adalah untuk membawa pelabur industri ke bahagian ini serta merubah mentaliti masyarakat
dalam sebuah bandar yang akan dijadikan sebagai sebuah bandaraya.

Apakah projek-projek terbaru yang dilaksanakan yang akan membantu mempercepatkan proses transformasi Bintulu menjadi sebuah bandaraya?

Mohidin: BDA merancang untuk mewujudkan kawasan pelancongan di sini dan rancangan itu telah pun diluluskan.
Tempat pelancongan itu dikenali sebagai Kampung Warisan yang terletak di Kampung Dato' di bawah Daerah Perniagaan
Berpusat. Antara yang ada di Kampung Warisan itu kelak adalah kawasan komersial kecil-kecilan, hiburan pelancongan,
gerai-gerai yang menjual produk-produk tempatan seperti kraftangan, kebudayaan dan sebagainya.

Apakah rancangan atau projek yang diatur oleh BDA bagi mengatasi masalah kesesakan di bandar khasnya dengan pertambahan jumlah kenderaan dan penduduk di Bintulu?

Mohidin: Kita perlu merancang dengan betul untuk mengatasi masalah kesesakan ini dengan mewujudkan sistem parkir dan
pemunggahan barangan oleh peniaga yang sistematik.
Samada suka atau tidak disebabkan ruang terhad dan kekurangan lot meletak kenderaan di pusat bandar maka bangunan
parkir bertingkat perlu dibina. Dengan adanya bangunan ini, kita berharap ia akan mengatasi masalah kekurangan tempat
parkir yang ada dan masalah kesesakan.

Apa pandangan tuan haji sekiranya tempat-tempat hiburan diletakkan di satu lokasi khusus?
Mohidin: Ia bergantung kepada keadaan sesuatu tempat itu. Saya membayangkan sekiranya warga kota dapat menikmati
persembahan hiburan berbentuk orkestra. Mungkin juga hiburan-hiburan lain untuk generasi muda yang mempunyai
minat berbeza.

Di samping itu, ia bergantung kepada keperluan dan permintaan. Kita tidak mahu membina tempat tetapi tidak digunakan
sebaiknya sehingga menjadikan tempat itu seperti `gajah putih'. Bergantung kepada keadaan sebenarnya kerana mentaliti kita
di sini adalah berbeza dengan tempat-tempat lain.

Adakah status bandaraya yang dicapai oleh Bintulu kelak akan mewujudkan tekanan kepada penduduknya?

Mohidin: Tidak, industri berteknologi tinggi yang terdapat di Bintulu akan sentiasa memastikan pekerja mereka
efisien dan bukan tertekan. Pihak pengurusan syarikat akan sentiasa menjaga kebajikan pekerja mereka.
Justeru tekanan hanya wujud kepada mereka yang tidak mempunyai kerja.

Sekiranya semua orang mendapat kerja yang baik, seterusnya mampu memiliki rumah dan dapat menikmati kemudahan
untuk beriadah dan berhibur, tentu tekanan tidak akan berlaku.
Status bandaraya sebenarnya membawa kebaikan kerana ia mampu menarik pelabur serta membawa wang masuk, dan bukan
mewujudkan tekanan kepada penduduknya.

Bagaimana sokongan pelbagai pihak terhadap usaha BDA setakat ini?

Mohidin: Alhamdulilah, sokongan daripada kerajaan amat baik. Kerajaan negeri dan persekutuan menyokong penuh usaha
BDA untuk membangunkan Bintulu. Banyak projek-projek yang dilaksanakan mendapat peruntukan kewangan daripada kerajaan.

Manakala sokongan swasta juga baik. Mereka juga membantu dan memain peranan. Beberapa projek yang dilaksanakan oleh
swasta adalah membina kemudahan perumahan, pembinaan pusat perniagaan di Medan Jaya, Parkcity Commercial Square, Parkcity
Shopping Mall, pusat perubatan swasta, kondominium di Tanjung Batu dan sebagainya.

Sektor swasta juga amat menyedari potensi Bintulu sebagai sumber penting mereka, justeru mengambil peranan masing-
masing dengan membina kilang pemprosesan kayu balak di Estet Perindustrian Kemena dan Loji pemprosesan kelapa sawit
di Kidurong.
Industri-industri besar di Bintulu akan membawa pelaburan besar ke bahagian ini. Ahli perniagaan bijak, mereka tahu
bagaimana untuk mengambil peluang. Justeru, untuk penduduk mereka perlu menyediakan diri dengan kemahiran misalnya pergi
ke politeknik atau pusat kemahiran giat Mara, pusat latihan dan bengkel.
Disebabkan itu, bukan sahaja BDA perlu memain peranan untuk merancang tetapi semua pihak perlu membuka mata, minda dan
telinga untuk menjayakan misi ini dengan menaik taraf dan meningkatkan kemudahan masing-masing sejajar dengan perkembangan
dan pembangunan bandar Bintulu.

Seruan tuan haji terhadap penduduk di Bintulu?

Mohidin:Penduduk perlu memahami bahawa Bintulu telah melangkah maju sejak dari 30 tahun lepas dan akan terus melangkah
ke hadapan.
Justeru, saya menyeru penduduk Bintulu bersedia untuk mengambil segala peluang yang ada supaya tidak ketinggalan dan
teraba-raba menyesuaikan diri dengan keadaan baru Bintulu yang cepat membangun.
Samada suka atau tidak ia akan tetap berlaku.
Penduduk juga perlu peka dengan persekitaran mereka kerana kita tidak mahu nanti apabila ketinggalan dan terpinggir, BDA
dan pihak berkuasa disalahkan. Kita juga akan membina sebuah perkampungan baru yang terancang di bandaraya.
Saya berharap semua akan mengambil peluang dengan menerapkan kemahiran diri namun tidak mengabaikan aspek hubungan
kejiranan dan kemesraan antara mereka kerana kita tidak mahu wujud sikap mementingkan diri dalam kampung dan dalam
sebuah bandaraya.

Bagi penduduk yang ingin menjadi nelayan pula, mereka perlu mengambil kemahiran agar dapat menjadi nelayan yang cekap
serta mendapatkan lebih banyak ikan selain bersedia dengan bot besar.
Bagaimanapun segala permasalahan yang berlaku melibatkan penduduk dalam usaha kita untuk mencapai sebuah bandaraya
perlu disalurkan melalui saluran yang betul dan diselesaikan dengan sebaiknya.

7 comments:

  1. masih dalam proses...sabar2...akan menyusul kelak.

    ReplyDelete
  2. Buat masa ini masih mencari bahan-bahannya...pasti menewaskan si sepit biru akan menjadi tatapan anda.
    Buat masa ini bacalah artikel yang ada disediakan.

    ReplyDelete
  3. jadi apakah isu dan pemaslahan yg wujud jika pembanguan ini kian pesat?dan bandar bintulu menjadi bandar perindustria?Saya sebagai org Geografi cuba melihat hal ini dari perspektif ruangan. dan sebagai pelajar Geografi Information System,adalah baik jika menngunakan aplikasi GIS dlm perancangan dan penyelesaian masalah...

    ReplyDelete
  4. perubahan guna tanah di bintulu banyak berubah sejak dari dulu hingga sekarang...dari kawasan hutan,atau kampung nelayan berubah kepada keadaan sekarang ini...

    ReplyDelete
  5. pada pendapat saya, mungkin ada tekanan terhadap pendududk dari aspek lain...seperti apa yaang dialami oleh bandar-bandar lain..jd sebelum tekanan itu datang.kita perlu membuat perancangan yang komprehensif agar mcapai pembangunan lestari

    ReplyDelete
  6. tlg paparkan map perancangan bandar bintulu menjelang 2020...

    ReplyDelete